Kes Anwar dan Liwat -Bernama-

Kalu dulu aku sibuk wat research pasal kes Anwar dan Liwat... smpai nak muntah2 cari maklumat bace kes die yang pertama dulu smpai la kes kdua2 ni dgn Saiful.. Thesis aku tu pun dh berkurun hantar, siap dpt A lg :), Ha! ni dah nak masuk setahun aku keje.. kes tu xselesai2 lg. hahaha kot2 dpt cucu pun de lg kes ni :)


13 Mei 10 - Saya Tidak Basuh Dubur Kerana Nak Simpan Bukti.

Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mengadu diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak membasuh duburnya selepas kejadian liwat pada 26 Jun 2008 kerana mahu menyimpan bukti.

Mohd Saiful, saksi utama dalam perbicaraan kes liwat ketua pembangkang itu berkata selepas kejadian itu, beliau tidak mandi tetapi hanya membilas badannya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pada pagi hari tersebut, sebelum kejadian, beliau mandi sepenuhnya.

Mohd Saiful berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh Karpal Singh yang mewakili Anwar dan juga mendakwa, beliau pernah diliwat oleh Anwar di dalam dan luar negara iaitu, Hong Kong, Singapura dan Bangkok.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi mengenepikan permohonan Anwar bagi menangguhkan perbicaraan sementara menunggu keputusan rayuan beliau berhubung penolakan permohonannya bagi mendapatkan kenyataan saksi yang dibuat kepada polis.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dalam penghakimannya berkata keputusan beliau mengenepikan permohonan bagi mendapatkan kenyataan saksi itu semalam bersifat prosedur dan ia tidak boleh dibuat rayuan.

Katanya selain itu pihak pembelaan gagal menunjukkan sebarang keadaan khas bagi membolehkan penangguhan diberikan.

Karpal Singh juga memohon mahkamah supaya pemeriksaan balas seterusnya pada sebelah petang diadakan secara tertutup.

Keterangan Mohd Saiful pada hari keempat beliau diperiksa balas oleh Karpal itu menarik perhatian ramai termasuk Karpal Singh sambil berkata " Ooo.. mahu simpan bukti".

Karpal : Pada 26 Jun 2008, anda tidak mandi langsung?

Mohd Saiful: Pada pagi 26 Jun itu, saya mandi sepenuhnya. Selepas kejadian saya tidak mandi tetapi hanya bilas sahaja.

Karpal: Anus, anda tidak cuci?

Mohd Saiful: Tidak. Mahu simpan bukti.

Kepada soalan Karpal Singh mengapa beliau tidak membuat terus laporan polis pada hari kejadian kerana bukti itu masih baru, Mohd Saiful berkata beliau memang ada peluang berbuat demikian.

Mohd Saiful, bekas pembantu peribadi Anwar itu berkata beliau juga mempunyai peluang untuk membuat laporan polis pada keesokan harinya, pada 27 Jun, tetapi tidak juga berbuat demikian kerana ingin mendapatKAN nasihat terlebih dahulu sebelum membuat laporan polis.

Karpal: Nasihat daripada siapa?

Mohd Saiful: Pakcik saya Tuah (Tuah Mohamad Alip), Mumtaz (Datuk Mumtaz Jaafar), rakan saya Rahimi (Rahimi Osman), saudara Ezam (Mohamed Ezam Mohd Noor) dan guru agama.

Merujuk pada laporan di laman web Malaysiakini bertarikh 15 Ogos, 2008, Karpal meminta Mohd Saiful mengesahkan bahawa laporan yang dibuatnya kepada wartawan laman web itu sama ada wujud kesilapan di dalamnya.

Mohd Saiful diminta supaya membaca laporan dengan perlahan.  Selepas membaca beliau berkata beliau tidak dapat mengesahkan seratus peratus sama ada terdapat kesilapan di situ.

Bagaimanapun, Mohd Saiful ada mengakui terdapat kesilapan pada mukasurat ketiga di laporan itu iaitu pada ayat "pertama kali diliwat".

Kepada soalan Karpal Singh, adakah beliau memmberitahu sedemikian kepada wartawan itu, beliau menjelaskan bahawa beliau tersilap mentafsir soalan wartawan berkenaan.

Karpal Singh dengan nada yang keras mengingatkan Mohd Saiful supaya bercakap benar selepas beliau tidak dapat mengesahkan apa yang diberitahunya kepada wartawan laman web itu.

Ditanya adakah beliau memberitahu wartawan Malaysiakini bahawa beliau diliwat Anwar bagi kali pertama dan tidak pernah sebelum itu, Mohd Saiful berkata beliau silap mentafsirkan pertanyaan wartwan itu.

Kepada persoalan lain, Mohd Saiful menafikan cadangan Karpal bahawa beliau berbohong di mahkamah kerana semasa beliau berjumpa dengan Perdana Menteri

Datuk Seri Najib Abdul Razak yang pada masa itu Timbalan Perdana Menteri pada 24 Jun, 2008, di kediaman, Najib, beliau mengadu yang beliau diliwat.

Mohd Saiful dalam pemeriksaan balas pada hari Isnin lepas memberitahu mahkamah bahawa beliau berjumpa Najib kerana menceritakan masalahnya.

Mohd Saiful juga bersetuju dengan cadangan Karpal bahawa semasa berjumpa dengan Najib pada 24 Jun 2008, beliau ada memberitahu Najib yang beliau diliwat.

Mengenai pertemuannya dengan seorang pegawai polis pada 24 Jun 2008 SAC I Datuk Mohd Rodwan Yusof (yang kini menjawat Ketua Polis Melaka), Mohd Saiful berkata beliau menceritakan masalahnya kepada Rodwan bahawa beliau diliwat oleh Anwar di dalam dan luar negara iaitu, Hong Kong, Singapura dan Bangkok.

Beliau bagaimanapun bersetuju dengan cadangan Karpal Singh bahawa pada Mac 2008, beliau merupakan penyokong kuat UMNO dan Barisan Nasional.

"Ya, saya memang penyokong kuat UMNO tetapi telah mengundi Sivarasa (R.Sivarasa, Subang) di kawasan saya dan Elizabeth Wong," jawab Mohd Saiful sambil diikuti gelak ketawa hadirin dalam mahkamah.

Karpal: Sokong BN, tapi undi Pakatan, itu bermakna anda seorang pengkhianat bukan, setuju?

Mohd Saiful: Tidak setuju.

Sebelum Karpal meneruskan soalan Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden membantah kerana apa relevannya soalan tersebut serta soalan Karpal kepada Mohd Saiful adakah beliau daripada keluarga yang porak peranda.

Mohamed Yusof berkata saksi merupakan seorang yang muda dan soalan-soalan Karpal Singh tidak ada kaitan dengan pertuduhan yang dihadapi oleh Anwar.

Menjawab soalan Karpal Singh mengapa beliau mengambil masa selama sejam lebih, walaupun pejabat PKR ke kondomimium itu jaraknya tidak jauh, Mohd Saiful berkata semasa beliau keluar dari pejabat PKR, ada sebuah motosikal mengekorinya.

"Semasa saya keluar, saya perasan ada sebuah motosikal ikut saya, saya cuba hilangkan diri," katanya.

Beliau berkata semasa tiba ke kondominum itu, pintu tertutup tetapi tidak berkunci.

Mohd Saiful juga bersetuju dengan cadangan Karpal Singh bahawa semasa tiba di kondominum itu, Anwar berada di dalam bilik.

Selepas itu, Karpal memohon prosiding dijalankan secara tertutup. 

Hakim Mohamad Zabidin membenarkan permohonan Karpal Singh, bagaimanapun dengan nada bergurau beliau berkata kebiasaannya dalam kes jenayah, pihak pendakwaan yang membuat permohonan seperti ini, tetapi hari ini sebaliknya.

Mohamad Zabidin juga mengingatkan orang ramai yang berada dalam galeri awam supaya supaya tidak berada di dalam mahkamah itu semasa prosiding bersambung secara tertutup pukul 2.15 petang.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

12 Mei 10 - Mohd Saiful Bertemu Mohamad Ezam Pada 27 Jun 08, sebelum Laporan Polis.

Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mengadu diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau ada berjumpa dengan bekas Setiausaha Politik Anwar, Mohamad Ezam Mohd Noor pada 27 Jun 2008 untuk mengadu tentang penganiayaan yang berlaku kepadanya.

Mohd Saiful, 25, saksi utama pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes liwat ketua pembangkang itu berkata beliau dibawa oleh rakannya bernama Rahimi dan juga pakciknya bernama Tuah Mohamad untuk berjumpa Mohamad Ezam di rumahnya di Bandar Tasik Puteri, Rawang.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar, sama ada beliau mengenali Mohamad Ezam sebelum itu, Mohd Saiful berkata beliau hanya kenal Mohamad Ezam begitu sahaja sebagai kawan.

Bekas pembantu kepada Anwar itu berkata pertemuan dengan Mohamad Ezam pada lewat malam 27 Jun itu hanya berakhir keesokan paginya.

Saiful dalam soal balasnya oleh Karpal Singh pada hari ketiga sebelum itu memberitahu mahkamah bahawa beliau pernah ke pejabat Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika beliau Timbalan Perdana Menteri pada Januari 2008 untuk mendapatkan surat sokongan untuk pinjaman pelajaran bagi mengikuti kursus sebagai kadet juruterbang di Kota Baharu.

"Ketika itu saya tidak jumpa TPM dan hanya berjumpa dengan pegawai khas beliau," jelas Mohd Saiful yang merupakan bekas pembantu kepada Anwar.

Kepada soalan lain oleh Karpal adakah Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan ada menghubungi beliau, Mohd Saiful menjawab beliau yang menghubungi Musa.

Karpal: Kenapa telefon dia?

Mohd Saiful: Nak mengadu masalah saya.

Karpal: Banyak masalah bukan?

Mohd Saiful: Memang saya banyak masalah.

Karpal: Ada jumpa dia?

Mohd Saiful: Contact (hubungi) sahaja.

Karpal: Bila?

Mohd Saiful: Pada 25 Jun 2008, sebelah pagi.

Karpal: Kamu contact dia untuk ceritakan masalah kamu bukan?

Mohd Saiful: Ya, tapi saya hanya bercakap selama seminit dan dimarahi oleh KPN kerana mungkin dia ingat panggilan main-main dan beliau meletakkan telefon. Beliau juga mengingatkan saya untuk tidak menelefonnya lagi.

Mohd Saiful, 25, mendakwa Anwar, 63, meliwatnya di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Pertuduhan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.



--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

11 Mei 10 - Mohd Saiful Tetap Dengan Pendirian Kejadian Liwat adalah Tanpa Kerelaannya.

Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mengadu diliwat oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang beliau tetap dengan pendiriannya bahawa kejadian liwat yang didakwanya itu adalah tanpa kerelaannya.

Mohd Saiful, 25, yang memakai kot hitam dan berkemeja biru, berkata demikian semasa di soal balas oleh peguam Karpal Singh yang mengetuai pasukan pembelaan ketika kes itu disambung semula hari ini di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Beliau yang merupakan bekas pembantu peribadi Anwar berkata beliau membuat kenyataan itu dalam pernyataan saksi yang diberikannya kepada pegawai polis dan beliau tidak pasti sama ada pernah membuat kenyataan yang sama di luar mahkamah.

Karpal: Semalam anda kata ada beberapa kenyataan direkodkan oleh polis?

Mohd Saiful : Ya

Karpal: Di mana kenyataan itu direkodkan?

Mohd Saiful: Di Ibu Pejabat polis daerah Brickfields dan di beberapa tempat lain

Karpal: Anda tetap dengan pendirian semalam iaitu "tanpa kerelaan"

Mohd Saiful: Ya, tetap sama.

Pada peringkat itu, Karpal Singh menyatakan mengenai kemungkinan untuk mencabar kesahihan kenyataan Mohd Saiful itu atas alasan wujud percanggahan antara kenyataannya kepada polis dan keterangannya di mahkamah dalam pertuduhan terhadap Anwar.

Peguam itu berkata Mohd Saiful, dalam kenyataannya kepada polis menyatakan kejadian liwat yang didakwa itu berlaku tanpa kerelaannya manakala pihak pendakwaan menuduh Anwar mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan iaitu melakukan hubungan seksual secara sukarela.

Katanya jika kejadian itu berlaku tanpa kerelaan, pihak pendakwaan sepatutnya mendakwa anak guamnya mengikut Seksyen 337C kanun yang sama.

Karpal Singh berkata di bawah Seksyen 377B, hukuman yang diperuntukkan ialah penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan manakala mengikut Seksyen 377C, hukuman diperuntukkan ialah penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan.

Katanya berikutan percanggahan itu, pihak pembelaan perlu meneliti kenyataan saksi bagi membolehkan kemungkinan bagi pihak pembelaan mencabar kesahihan keterangan Mohd Saiful.

"Di bawah keadaan ini, ia masih satu kesalahan. Hubungan seksual secara sukarela antara lelaki bukan satu kesalahan di negara lain. Kami mempunyai gerak hati bahawa keterangan yang diberikan di mahkamah adalah bercanggah dengan kenyataannya.

Dengan ini kami mempunyai hak untuk memeriksa dan meneruskan tindakan mencabar kesahihan kenyataan itu," katanya.

Karpal Singh berkata saksi berulang kali menyatakan kejadian liwat itu adalah tanpa kerelaannya.

Ini merupakan kali pertama kes liwat yang tertuduh didakwa melakukannya secara sukarela walaupun kenyataan dan keterangan dibuat pengadu adalah tanpa kerelaannya, katanya.

Dalam jawapan balas terhadap hujahan Karpal Singh, Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abidin, yang mengetuai pasukan pendakwaan, berkata tiada asas bagi permohonan Karpal Singh itu kerana adalah di bawah bidang kuasa Peguam Negara untuk mendakwa seseorang itu mengikut mana-mana seksyen.

Beliau berkata Anwar didakwa mengikut pertuduhan yang memperuntukkan hukuman lebih ringan dan bidang kuasa pihak pendakwaan tidak boleh dipersoalkan.

"Tidak terdapat perbezaan antara Seksyen 377B dan Seksyen 377C, perbuatan melakukan hubungan seksual di dubur ialah satu kesalahan sama ada secara sukarela mahupun tanpa sukarela.

Ia tidak memperuntukkan kesalahan yang berbeza, hanya membabitkan hukuman lebih berat. Jika tanpa kerelaan, ia memperuntukkan penalti lebih berat.

"Dalam hujahan saya, tidak terdapat gerak hati untuk menjustifikasikan mahkamah ini untuk meneliti kenyataan itu atau malahan membekalkan kenyataan itu kepada pihak pembelaan," katanya.

Hakim Mohamad Zabidin menangguhkan penghakimannya kepada esok kerana beliau perlu meneliti perkara itu.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

10 Mei 2010 
- Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mengadu diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hariini bahawa laporan polis yang dibuatnya telah menyatakan beliau diperlakukan demikian tanpa kerelaan.

Mohd Saiful, 25, yang memakai kot hitam dan berkemeja biru, berkata demikian apabila ditanya oleh peguam Karpal Singh yang mengetuai pasukan pembelaan dalam pemeriksaan balas ketika kes itu disambung semula hari ini di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Kemudiannya Mohd Saiful diminta oleh Karpal membaca laporan polis yang dibuatnya.

Laporan itu antaranya berbunyi : "Saya Mohd Saiful ingin melaporkan saya diliwat oleh majikan saya. Kejadian ini tanpa kerelaan saya...Oleh itu laporan ini dibuat dengan tujuan untuk mendapat keadilan dan pembelaan atas diri saya bagi tujuan keselamatan jika perkara ini tersebar luas."

Terdahulu selepas Mohd Saiful mengangkat sumpah dalam kandang saksi, Karpal Singh mengingatkan beliau supaya bercakap benar di mahkamah kerana menjadi kewajipan besar baginya sebagai saksi untuk bercakap benar.
Mohd Saiful memberitahu mahkamah bahawa seorang anggota polis iaitu ACP Mohd Rodwan Yusof telah berjumpa dengannya di Hotel Melia di Jalan Imbi pada 8 malam 24 Jun 2008.

Karpal: Untuk tujuan apa ACP Rodwan berjumpa kamu?

Mohd Saiful: Pada masa itu ACP Rodwan ada telefon saya. Beliau kata nak jumpa. Pada masa itu saya tidak tahu tujuan apa. Masa jumpa dia tanya saya apa masalah yang saya hadapi.

Karpal: Jumpa ACP Rodwan lepas jumpa (Datuk Seri) Najib (Tun Razak)?

Mohd Saiful: Ya.

Karpal: Ada sesiapa arahkan ACP Rodwan jumpa anda?

Mohd Saiful: Tidak tahu.

Karpal: Macam mana dia tahu nombor telefon anda?

Mohd Saiful: Tidak pasti

Karpal: Apa berlaku lepas berjumpa?

Mohd Saiful: Saya ceritakan kepada dia yang saya diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa kali.

Karpal: Ada kenyataan anda kata, anda diliwat tanpa kerelaan?

Mohd Saiful: Ya, dalam laporan polis saya.

Karpal juga bertanya MOhd Saiful dengan siapa beliau berjumpa sebelum mendapatkan rawatan dan mengapa beliau mengambil selama dua hari sebelum membuat laporan polis berhubung dakwaannya diliwat.

Mohd Saiful berkata beliau berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Jun 2008 bagi mengadu masalahnya kepada Najib.

Mohd Saiful berkata beliau berjumpa dengan Najib yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri di rumah Najib di Taman Duta di sini dan selepas itu beliau tidak berjumpa lagi dengan Najib.

Mohd Saiful berkata beliau hanya berjumpa Najib, dan tidak pernah berjumpa dengan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Semasa ditanya Karpal mengenai pemeriksaannya di Hospital Pusrawi pada 28 Jun, iaitu selepas dua hari beliau didakwa diliwat oleh Anwar, Mohd Saiful berkata bahawa beliau memberitahu Dr Mohd Osman Abdul Hamid yang beliau sakit di bahagian dubur dan juga mengalami sakit perut.

Mohd Saiful berkata sebelum pemeriksaan dibuat oleh Dr Mohd Osman, beliau memberitahu yang beliau sakit perut tetapi semasa pemeriksaan dijalankan beliau berterus terang dengan doktor itu bahawa beliau diliwat.

Semasa diminta penjelasan mengenai laporan perubatan oleh Dr Mohd Osman yang ntaranya menyebut bahawa "pesakit mendakwa dicederakan dengan plastik di bahagian dubur", Mohd Saiful berkata beliau tidak faham tulisan doktor itu.

Karpal: Adakah apa yang ditulis ini benar?

Mohd Saiful: Saya tidak pernah buat aduan seperti ini kepada doktor itu.

Karpal: Adakah anda tahu doktor itu akan beri keterangan di mahkamah?

Mohd Saiful: Ya tahu.

Karpal: Mengapa doktor itu tulis macam itu.

Mohd Saiful: Saya tidak pasti.

Karpal: Adakah doktor itu bohong?

Mohd Saiful: Ya bohong. Tidak benar.

Mohd Saiful kemudiannya memberitahu mahkamah bahawa selepas berjumpa dengan Dr Osman, beliau diarah oleh doktor itu untuk membuat pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur.

Mohd Saiful berkata beliau pergi ke HKL dengan bapa saudaranya yang dipanggilnya Uncle Tuah pada 3 petang sehingga 12 tengah malam.

Di HKL, katanya, seorang doktor bernama Dr Daniel memintanya pergi ke wad One Stop Crisis Centre (OSCC) dan semasa berjumpa Dr Daniel beliau berterus terang yang beliau diliwat.

Mohd Saiful memberitahu mahkamah bahawa beliau telah diperiksa oleh tiga orang doktor termasuk Dr Daniel.

Beliau juga diminta membaca laporan perubatan oleh ketiga-tiga doktor itu.

Karpal juga meminta Mohd Saiful menjelaskan mengenai kandungan laporan perubatan itu antaranya "tiada tanda cedera di dubur" yang mana Mohd Saiful menjawab beliau tidak dapat melihat duburnya sendiri.

Karpal: Apa pendirian kamu dengan laporan perubatan ketiga-tiga doktor iaitu "tidak ada apa-apa yang tidak kena dengan dubur awak."

Mohd Saiful: Saya tidak tahu. Saya tidak dapat nampak dubur saya.

Ketika ini, Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden, yang mengetuai pasukan pendakwaan mencelah, dan berkata Karpakl sepatutnya menujukan soalan itu kepada para doktor berkenaan.

Hakim Mohamad Zabidin bersetuju dengan Mohamed Yusof, dengan berkata bahawa sudah tentunya Mohd Saiful tidak dapat melihat dubur sendiri, dan ini menyebabkan mereka yang hadir di mahakamah ketawa.

Mohd Saiful juga menyampuk sambil menjawab "Semasa diliwat saya guna pelincir."

Pada pemeriksaan balas itu juga, Karpal meminta penjelasan Mohd Saiful sama ada beliau merupakan seorang Islam yang baik, dan Mohd Saiful berkata beliau cuba untuk menjadi seorang Islam yang baik.

Mohd Saiful berkata semasa bekerja dengan Anwar, beliau jarang bersembahyang tetapi mulai insaf selepas membuat laporan polis berhubung kejadian liwat itu.

Katanya beliau tidak sembahyang selepas kejadian liwat.

Karpal: Kenapa anda tidak sembahyang hari itu (26 Jun 2008)?

Mohd Saiful: Mungkin kerana saya telah diliwat.

Karpal: Ada sembahyang pada 27 Jun?

Mohd Saiful: Ada sembahyang Jumaat.

Karpal: Ada mandi sebelum sembahyang?

Mohd Saiful : Ada mandi sedikit saja tapi tidak cuci habis.

Karpal: Bila sembahyang, mesti cuci betul-betul? Betul mandi junub diwajibkan?

Mohd Saiful :Ya.

Karpal: Jadi sembahyang anda pada 27 Jun 2008, adalah tidak sah?

Mohd Saiful: Ya.

Karpal: Jadi anda bukan seorang Islam yang baik.

Pada ketika itu, Mohamed Yusof membantah. Hakim Mohamad Zabidin kemudiannya berkata pihak pembelaan tidak boleh membantah sekiranya pihak pendakwaan membuat serangan peribadi terhadap Anwar, di mana Karpal menjawab, beliau tidak mempunyai bantahan terhadap perkara itu.

Perbicaraan disambung esok bagi mendengar kedua-dua pihak berhujah mengenai permohonan Karpal untuk mendapat salinan keterangan saksi yang diambil oleh polis.


-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Saiful mengaku tidak solat selepas diliwat (Sumber Bharian)


Saiful Bukhari Azlan yang disoal balas peguambela Karpal Singh pada perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengaku tidak solat langsung selepas diliwat bekas majikannya itu pada 26 Jun 2008.
Menjawab soalan Karpal bahawa beliau bukan seorang Islam yang baik kerana tidak menunaikan solat lima waktu yang diwajibkan, Saiful berkata beliau tidak dapat solat kerana beliau diliwat dan belum mandi wajib.

"Saya dalam keadaan darurat ketika itu," katanya.

Saiful juga mengakui beliau tidak mandi junub pada 27 dan 28 Jun sebelum ke Pusrawi dan Hospital Kuala Lumpur pada 28 Jun untuk membuat pemeriksaan.



4 Mei 2010 - Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sedang berlangsung, akan bersambung Isnin ini selepas gagal dalam rayuannya agar tuduhan itu diketepikan di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini.

Tiga panel hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria tidak menerima pendapat pihak pembelaan bahawa tuduhan dan pendakwaan terhadap Anwar perlu diketepikan berdasarkan laporan perubatan yang melaporkan bahawa tiada sebarang tanda penetrasi atau tembusan ke dubur atau rektum Mohd Saiful Bukhari Azlan.


Dalam keputusan sebulat suara, Arifin berkata laporan perubatan oleh tiga doktor mesti dibaca secara keseluruhan.

Dalam mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, pada 17 Feb, tahun ini memutuskan bahawa laporan perubatan di mana Anwar bergantung harap, tidak konklusif tetapi hanya membenarkan apa yang doktor perlu memberi keterangan di mahkamah.

Anwar bergantung kepada laporan perubatan yang menyebutkan bahawa "tidak ada hasil klinikal menunjukkan berlaku penetrasi atau tembusan ke dubur/rektum," menyokong pemohonannya bagi menolak tuduhan liwat ke atasnya.

Dalam prosiding sebelum itu, Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa adalah terlalu awal pada ketika ini untuk menyatakan bahawa tiada bukti menunjukkan penetrasi apabila doktor masih perlu menjelaskan sebahagian daripada laporannya.

Mohd Yusof berkata ada bahagian lain yang berkaitan dengan pembuktian dalam laporan perubatan yang tidak diambil perhatian oleh Anwar.

Katanya analisis makmal yang dijalankan ke atas empat calitan kapas mendedahkan mengenai kehadiran air mani.

Beliau memetik buku 'Forensic Medicine for Lawyers', yang menyatakan bahawa penemuan air mani pada calitan yang diambil sama ada daripada saluran dubur atau mukosa dubur akan membuktikan aksi liwat hampir di luar pertikaian.

Mohd Yusof berkata selain daripada bukti saksi pendakwaan pada perbicaraan, lain-lain bukti yang berkaitan mengenai kehadiran air mani dan analisis DNA akan membatalkan dakwaan Anwar bahawa tuduhan ke atasnya oleh pihak pendakwaan didorong oleh mala fide.
Peguam Anwar, Karpal Singh berkata bahawa laporan perubatan tidak menunjukkan tanda-tanda penetrasi dan tanpa kehadiran luka defensif yang signifikan ke atas Mohd Saiful.

"Bagaimana boleh ada air mani apabila tidak ada penetrasi," katanya sambil menambah bahawa kehadiran air mani menandakan bahawa bukti itu merupakan satu perangkap.

Karpal Singh juga berhujah bahawa seharusnya dakwaan dan tuduhan tidak dirumuskan ke atas Anwar kerana laporan perubatan itu akan bertentangan dengan bukti Mohd Saiful yang akhirnya mencabar testimoninya (Mohd Saiful).

23 Mac 2010 -  Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah, yang sebelum ini menolak permohonan supaya pihak pendakwaan syarie memulakan prosiding pertuduhan qazaf terhadap bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Peguam Syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman yang mewakili Anwar, memfailkan notis itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Syariah Kuala Lumpur di sini pada 10.05 pagi.

Kamar Ainiah berkata dalam tempoh enam minggu, pihaknya akan memasukkan alasan rayuan dan rekod rayuan berikutan belum menerima alasan penghakiman daripada mahkamah.

Pada 7 Jan lepas, Anwar yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah bagi mendapatkan perintah supaya pihak pendakwaan iaitu Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain meneruskan pertuduhan qazaf terhadap Mohd Saiful Bukhari, 25.

Pertuduhan qazaf ialah membuat tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat saksi lelaki, dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Anwar dalam permohonannya menamakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Shamsuddin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali sebagai responden.

Ketiga-tiga responden itu memfailkan permohonan bantahan awal terhadap permohonan Anwar yang difailkan pada 9 Feb lepas atas alasan Mahkamah Tinggi Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan qazaf berkaitan kesalahan jenayah melalui prosedur Mal.


16 April 2010 - Rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Rayuan untuk mengekalkan tuduhan liwat terhadapnya akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan pada 4 Mei.

Peguam bela Anwar, S.N.Nair memberitahu pemberita bahawa beliau dimaklumkan mengenai tarikh itu oleh Pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini melalui faks.

Anggota Parlimen Permatang Pauh itu gagal dalam rayuannya di peringkat Mahkamah Rayuan.

Pada 17 Feb Anwar gagal untuk membuktikan bahawa tuduhan dan pendakwaan terhadap beliau adalah bersifat menindas bagi membolehkan tuduhan itu dibatalkan.

Anwar, 63 , mahu agar mahkamah membatalkan pertuduhan liwat berdasarkan penemuan laporan perubatan oleh tiga doktor bahawa "tidak ada hasil klinikal menunjukkan berlaku penetrasi atau tembusan ke dubur/rektum".

Beliau gagal dalam usahanya agar tuduhan itu dibatalkan di Mahkamah Tinggi yang telah menolak permohonannya pada 1 Dis tahun lepas.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dibicarakan atas dakwaan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun, 2008.

Anwar menghadapi hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Pembelaan dijadual memeriksa balas Mohd Saiful apabila perbicaraan bersambung pada 10 Mei.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Semalam (3 Febuari) Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dah mmulakan perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim tu lg. yang mengemparkan dakwaan mangsa Mohd Saiful Bukhari Azlan dikatakan dia diajak oleh ketua pembangkang tu untuk mengadakan hubungan seks luar tabii.

Nak thu ape dibicarakan! Bacalah!

Ketika pemeriksaan utama oleh Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin, Mohd Saiful berkata pelawaan Anwar itu dibuat selepas beliau menyerahkan dokumen yang dibawanya dari pejabat kepada Anwar.

Mohd Yusof: Apa buat dengan dokumen bila masuk?

Mohd Saiful: Saya duduk di meja tersebut bertentangan dengan Anwar dan serahkan dokumen.

Mohd Yusof: Duduk, letak dokumen, apa lepas itu?

Mohd Saiful: Lepas serah dokumen, kami bincang tentang jadual kerja, tidak lama lepas itu beliau tanya satu soalan.

Mohd Yusof: Apa soalan itu?

Mohd Saiful: Can I f--- you today?

Mohd Yusof: Apa reaksi kamu ketika diajukan soalan itu?

Mohd Saiful: Marah dan takut.

Mohd Yusof: Ada kamu kata apa-apa?

Mohd Saiful: Tolak pelawaannya.

Mohd Yusof: Apa kamu kata bila menolak?

Mohd Saiful: Saya kata saya tidak mahu melakukannya.

Mohd Yusof: Anwar kata apa-apa bila kamu kata tidak hendak melakukannya?

Mohd Saiful: Dengan nada marah, Anwar kata "what" (apa)?

Mohd Yusof: Apa respon kamu?

Mohd Saiful: Saya ulang yang sama.

Mohd Yusof: Seterusnya?

Mohd Saiful: Anwar agak marah, dengan itu saya takut. Anwar arahkan ke bilik tidur utama.

Mohd Saiful berkata beliau kemudian mengikut arahan Anwar dan Anwar selepas itu menutup langsir dan lampu bilik.

Beliau berkata Anwar seterusnya meminta beliau untuk membersihkan dirinya di bilik air.

Mohd Yusof: Masa itu dah buka pakaian?

Mohd Saiful: Ya.

Mohd Yusof: Lepas bilas diri?

Mohd Saiful: Saya ambil tuala dalam tandas, saya keluar dengan bawa baju kemeja saya warna putih dan gantung di tempat pemegang almari.

Mohd Yuof: Kamu bertuala?

Mohd Saiful: Saya bertuala.

Mohd Yusof: Masa keluar dari bilik air, nampak di mana Anwar?

Mohd Saiful: Saya nampak, Anwar di hujung penjuru katil, di bahagian kaki sebelah kanan.

Mohd Yusof: Apa Anwar buat pada masa itu?

Mohd Saiful: Dia berdiri pakai tuala putih dan mengarahkan saya untuk pergi dekat dia, lalu dia peluk saya sambil berdiri.

Bersambung!!
Peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar membuat permohonan agar prosiding seterusnya dijalankan secara tertutup. hahaha xdpt la tahu ape jd lps tu :) kekekeke :p                                                                         Sumber: Bernama.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...