Friday, December 2, 2011

Lokasi Berisiko Banjir Kilat di KL

DBKL Kenal Pasti Beberapa Lokasi Banjir Di Ibu Negara

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengenal pasti beberapa kawasan di ibu negara yang berisiko tinggi dilanda banjir kilat pada musim tengkujuh ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata kesemua kawasan yang dikenal pasti itu terletak di kawasan rendah berhampiran sungai, antaranya KampungKasipillay, Off Jalan Ipoh; kawasan Segambut Dalam/Segambut Tengah/Segambut Bahagia; Jalan Tun Razak/Jalan Gurney/Jalan Gurney Kiri dan Setapak - Jalan Air Panas/Jalan Air Madu.

"Kawasan lain termasuk Kampung Cheras Baru, Kawasan Jalan 9; Taman Goodwood, JalanKelang Lama; Jalan Ampang depan Bangunan RISDA Building dan Taman Angsana, off Jalan Puchong," katanya ketika ditemu bual dalam program Ala Carte Pagi terbitan Bernama Radio24, di sini Jumaat.

Beliau berkata kejadian banjir di ibu negara kebanyakan berlaku setempat berpunca daripada sistem perparitan tersumbat oleh sampah sarap atau kelodak dan banjir di permukaan jalan akibat dari 'scupper drains' tersumbat.

Sehubungan itu, katanya satu Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Peringkat DBKL ditubuhkan dalam usaha memastikan tugas-tugas mengurus, menyelaras dan memberi bantuan dapat dilaksanakan dengan cepat apabila berlaku banjir kilat.

Ahmad Fuad berkata DBKL juga telah mengaktifkan Bilik Gerakan Banjir sejak 1 Nov lalu yang dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan seperti maklumat bacaan paras air,pusat perhubungan yang bertanggungjawab menerima, menyalur maklumat atau aduan danmemantau status kejadian bencana yang berlaku.

Warga kota juga boleh mendapatkan maklumat mengenai banjir melalui Sistem Elektronik Papan Tanda Amaran Banjir yang ditempatkan di beberapa lokasi-lokasi di pusat bandar. -- BERNAMA

* Dengarkan Ala Carte Pagi, Isnin hingga Jumaat, 8.30AM di siaran FM93.9 BERNAMA Radio24. Maklumat lanjut layari www.radio24.com.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...