Bernama.com | Rencana 22 Mei, 2012 14:59 PM
Oleh Norindah Khairi
KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- "Saya mahu rakyat Malaysia menerima seadanya masyarakat Orang Asli, tidak kira sama ada mereka mempunyai fahaman atau agama yang berbeza," kata penulis Orang Asli berbakat, Mahat anak China.
"Berkawanlah dengan mereka, kenalilah hati budi mereka dan inilah yang saya cuba lakukan melalui karya sastera saya," kata Mahat yang menulis dengan nama pena Akiya.
Mahat yang berasal dari Kampung Orang Asli Erong, Ladang Ulu Bernam, Hilir Perak, merupakan satu-satunya penulis Orang Asli daripada suku Semai yang terlibat secara serius dalam bidang penulisan kreatif.
Beberapa karya beliau yang diterbitkan, banyak menekankan kepada aspek perjuangan, sejarah dan warisan masyarakat Orang Asli yang dianggap unik dan luar biasa.
MENULIS MELALUI KACA MATA ORANG ASLI
"Biarlah yang dangkal itu datang daripada Orang Asli. Orang Asli ada caranya untuk menyampaikan hasrat mereka, maka lahirlah karya-karya ini," demikian kata Mahat.
Mahat mahu karya yang dihasilkan diterima dan dibaca bukan sahaja dalam kalangan Orang Asli, tetapi semua kaum di negara ini.
Selain ingin membetulkan persepsi negatif orang luar terhadap Orang Asli, Mahat berkata penghasilan karyanya juga bertujuan membakar semangat khalayak yang kebanyakannya remaja berketurunan Orang Asli agar berani mengubah tanggapan yang mengaitkan mereka sebagai masyarakat primitif serta tidak bertamadun.
Katanya penulisan daripada kaca mata Orang Asli sendiri mampu mengambarkan kehidupan sebenar komuniti itu tanpa disalah tafsirkan oleh pihak yang kurang memahami budaya Orang Asli yang sebenar.
"Tidak ramai Orang Asli yang mahu menjadi penulis. Oleh itu saya berkeinginan dan mengharapkan karya yang dihasilkan mendapat tempat dalam kalangan pembaca di negara ini," katanya.
Mahat berkata sastera lisan masyarakat Orang Asli telah pun disampaikan daripada satu generasi ke generasi, tetapi ia tidak banyak didokumentasikan.
"Apa yang penting, peristiwa dan sejarah tentang Orang Asli perlu didokumentasikan bagi membantu masyarakat supaya benar-benar memahami budaya, sejarah dan kehidupan Orang Asli," katanya.
Jelas beliau, tidak dinafikan dalam komuniti mereka juga masih ada yang tidak tahu mengenai sejarah keturunan masing-masing, apatah lagi masyarakat lain.
KARYA AKIYA
"Dulu-dulu menyebut sahaja perkataan Sangkil ('hamba' dalam bahasa Orang Asli) dalam kalangan Orang Asli, mereka sudah hilang rasa, hilang selera makan dan minum. Pada mereka, lebih baik mati daripada dimalukan sebagai Sangkil.
"Sangkil dilihat seolah-olah bukan manusia, walaupun mereka manusia serumpun di rantau ini." Demikian satu petikan yang diambil dari sebuah novel sejarah, hasil karya Akiya yang berjudul 'Perang Sangkil'.
Perang Sangkil berkisar sejarah penghambaan di Tanah Melayu sekitar tahun 1870-an yang mengisahkan penganiayaan bangsawan Melayu terhadap Orang Asli yang diburu untuk dijadikan hamba, gundik atau dibunuh tanpa belas kasihan.
"Sejarah penghambaan ini terakam dalam novel Perang Sangkil dan ia merupakan kisah tragis yang tercicir daripada arus perdana," kata Mahat.
Dua lagi karya kreatif beliau yang diterbitkan ialah kumpulan cerpen Orang Asli berjudul 'Tuntut', terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan antologi puisi berjudul 'Perjuangan Warisan Orang Asli: Suara Dari Dalam' terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Jelas Mahat, perjuangan dalam penulisan cerpen dan sajak ini kesemuanya adalah isu yang menghimpit kehidupan Orang Asli pada masa kini dan juga warisan masyarakat Orang Asli yang hampir lenyap ditenggelami zaman.
Mahat kini dalam perancangan menerbitkan sebuah buku berjudul 'Hamba' dan beberapa menuskrip lain termasuk 'Diari Kehidupan' dan 'Wira Kecil'.
PROGRAM BICARA KARYA
Menjadi sejarah dalam hasil penulisan keturunan Orang Asli, di mana karya kreatif Mahat yang belum pernah dikupas dan dibincangkan secara ilmiah oleh mana-mana pihak, buat julung kalinya diangkat dan diiktiraf oleh Dewan Bahasa dan Pustaka menerusi satu majlis bicara sastera.
Program yang dinamakan "Bicara Karya Mahat a/l China" itu diadakan pada Febuari lalu dengan
kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tapah, Perak.
Pengiktirafan yang diberikan ini sekali gus membuktikan anak Orang Asli juga mempunyai bakat terpendam dan wajar menerima penghormatan sama seperti kaum lain di negara ini.
Susulan itu, Mahat mengajak masyarakat Orang Asli membuang perasaan rendah diri dan malu untuk menonjolkan bakat dalam dunia penulisan yang dilihat mempunyai manfaat besar.
Menurut Mahat, program itu merupakan program perintis yang diadakan bertujuan untuk
meningkatkan minat terutama para pelajar terhadap kesusateraan kebangsaan di negara ini.
Pendedahan awal kepada mereka mampu mewujudkan semangat patriotisme dalam kalangan
masyarakat pribumi terutama suara hati anak Orang Asli yang mendambakan perhatian dan
bantuan, dalam usaha mengubah nasib mereka, katanya.
Mahat turut diundang Dewan Bahasa dan Pustaka menghadiri Seminar Sastera Pelbagai Kaum yang dijangka berlangsung pada September.
Karya Mahat pastinya menambah warisan sastera negara dan memberikan ruang bagi masyarakat Orang Asli menonjolkan aspirasi dan harapan masa depan mereka. -- BERNAMA
Thursday, May 9, 2013
Orang Asli Melalui Kaca Mata Akiya
Posted by indah at Thursday, May 09, 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comments:
Do you want to exclude the Gdax wallet network connection error? Slow Internet connection, privacy and security programs in your system, unsecure connection in your web browser etc. are some of the reasons that lead to such network errors. In order to fix network connection error, you can knock the doors of nimble executives who have the plethora of solutions to your existing error. Just reach them by dialing Gdax Support Number and your error will be removed by their chief aid related to your error.
Website:- https://www.cryptophonesupport.com/wallet/gdax/
Post a Comment