Bernama.com | Rencana 20 April, 2012 17:15 PM
Oleh Norindah Khairi
KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Keupayaan seseorang adakalanya tidak mampu dizahirkan jika tidak pernah diberi peluang. Kebolehan juga tidak mampu ditonjolkan jika peluang yang ada tidak digunakan sebaiknya.
Demikian pendapat Majlis Belia Malaysia dalam mengesan pemimpin senyap dalam kalangan belia. Untuk memastikan ruang dan peluang ini tidak disia-siakan, MBM mencorak strategi dalam usaha menjejaki aset negara ini untuk digilap menjadi jaguh Malaysia.
Ketua Penerangan MBM, Hasnul Fairuz Hushin Amri berkata MBM percaya ramai pemimpin senyap dalam kalangan belia yang boleh digilap bakat mereka untuk menjadi jaguh menentukan kekuatan dan ketahanan pembangunan sosial, ekonomi dan politik negara.
MBM menggalas tanggungjawab ini dengan menggunakan pendekatan program berbentuk kepimpinan dan kesukarelaan untuk mengumpul belia yang berpotensi menjadi pemimpin.
MELATIH PEMIMPIN MUDA YANG BERWAWASAN
Hasnul Fairuz berkata pemimpin muda dibentuk melalui program seperti Siri Latihan Pemimpin Muda,yang mula diadakan pada tahun 2011. Sebanyak 10 siri program telah diadakan di seluruh Malaysia.
"Siri latihan ini bukan sahaja dilaksanakan dalam kalangan belia yang berada di dalam negara tetapi melibatkan mereka yang kini berada di luar negara," katanya.
Di dalam program ini MBM membawa pendekatan yang agresif, memberi ruang kepada belia yang terlibat untuk melontarkan pandangan mereka sehingga mereka mampu membentuk keyakinan diri. Hasnul Fairuz berkata program kepimpinan ini mahu melahirkan barisan pemimpin muda yang faham cita-cita dan wawasan negara serta gagasan 1Malaysia.
Katanya MBM juga menyediakan latihan yang bertujuan melahirkan barisan pelapis pemimpin sebagai satu langkah pengupayaan persatuan belia.
Program tahun ini akan terus diperhebat, melibatkan 20 siri, dengan sasaran 2,000 peserta yang turut melibatkan kerjasama Majlis Belia Negeri.
"Bagi tahun 2012, Siri Latihan Pemimpin Muda dijangka akan diadakan pada September hingga November dan ia akan melibatkan peserta yang berumur antara 18 hingga 30 tahun," katanya.
PERINGKAT ANTARABANGSA
Dalam pada itu, MBM turut menggerakkan Kursus Pemimpin Muda Peringkat Antarabangsa di mana penglibatannya adalah pelajar-pelajar Malaysia di luar negara.
Hasnul Fairuz berkata pada Jun ini, program lawatan balas MBM ke Turki akan diadakan untuk bertemu dengan belia Turki serta pelajar Malaysia di sana.
MBM juga, katanya, akan bergerak ke Mesir dan Jordan, iaitu negara yang menempatkan jumlah pelajar Malaysia paling ramai.
"Secara tidak langsung program diskusi santai digunakan untuk mendekati pelajar-pelajar Malaysia di sana," katanya.
Bukan sekadar itu sahaja, MBM dengan kerjasama agensi kerajaan dan swasta akan turut menaja beberapa peserta terpilih untuk mengikuti kursus dan latihan lanjutan di institusi pengajian tinggi.
MEMBENTUK PEMIMPIN BERJIWA RAKYAT
Hasnul Fairuz berkata dalam usaha membentuk pemimpin berjiwa rakyat, sifat kesukarelaan belia, dicungkil dan dipupuk untuk menjadikan mereka ringan tenaga membantu kesejahteraan jiran tetangga dan komuniti.
"Nilai kesukarelaan ini dipupuk sehinggakan individu yang dilatih mempunyai motivasi dan kepercayaan dalaman untuk menyempurnakan kepuasan diri dengan menghulurkan bantuan kepada orang lain," katanya.
Usaha ini dilakukan melalui Sahabat MBM, program khidmat masyarakat yang berperanan memberi galakan kepada belia menghulurkan khidmat bakti kepada anggota masyarakat di dalam dan luar negara.
Beliau memberi contoh program kesukarelaan Belia Antarabangsa - Misi Bantuan Bencana Pasca Banjir Thailand 2011.
Program anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan itu turut mendapat sokongan penuh kerajaan Thailand melalui Office of Welfare Promotion, Protection and Empowerment of Vulnerable Groups, Thailand (OPP).
"Tahun ini, Sahabat MBM mengadakan Misi Bantuan Kemanusiaan Pasca Banjir di Kemaman, Terengganu pada 13 Jan dan di Hulu Langat, Selangor baru-baru ini," katanya.
MBM juga melancarkan Sahabat MBM di setiap IPT di negara ini yang merupakan platform untuk mahasiswa berinteraksi dan mengasah bakat melalui kerja kesukarelaan, kepemimpinan dan kemasyarakatan.
Melalui Sahabat MBM, mahasiswa dapat disatukan melalui suasana positif tanpa dipisahkan oleh ideologi kepercayaan serta latar belakang sosial yang berbeza.
Menyentuh perincian setiap tugas yang dijalankan, Sahabat MBM juga, katanya, memainkan peranan penting dalam mengendalikan dan mengatasi masalah sosial serta mengadakan pelbagai perkhidmatan kebajikan kepada golongan yang memerlukan.
MBM TERUSKAN PERANAN MEMBENTUK PEMIMPIN MUDA
Presiden MBM, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata proses melahirkan pemimpin bukan dapat dicapai sekelip mata.
Hanya yang tabah dan kuat akan berjaya mengharungi proses itu dan menjadi pemimpin unggul, katanya.
Kini terdapat hampir 8,000 pertubuhan belia yang boleh dijadikan platform belia mengasah bakat dan meluaskan pengalaman.
Katanya negara ini sentiasa memerlukan pelapis belia yang mampu memacu pembangunan dan wawasan negara.
Demi kelangsungan dan survival bangsa Malaysia, proses melahirkan pemimpin unggul perlu berterusan dan dipelbagaikan. -- BERNAMA
Thursday, May 9, 2013
Mencari Pemimpin Senyap Belia
Posted by indah at Thursday, May 09, 2013
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment