Tuesday, March 1, 2011

What Happen in Klang Valley? Stop by & have a look! We've got all here !!

BEBERAPA JALAN SEKITAR KUALA LUMPUR DITUTUP SEMPENA SAMBUTAN HARI TENTERA DARAT KE-78
     

1 Mac - Beberapa jalan di sekitar Dataran Merdeka akan ditutup secara berperingkat mulai esok sehingga Ahad ini sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-78.
    
Jalan yang terlibat:
- Jalan Travers (dari Muzium Negara ke Dataran Merdeka)
- Jalan Parlimen (dari Dataran Merdeka ke Tasik Perdana)
- Jalan Raja Laut
- Jalan Hishamuddin
- Persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman/Jalan Raja.
    
Semua jalan tersebut akan ditutup bagi memberi laluan kepada latihan (pada 2 dan 3 Mac), raptai penuh (4 dan 5 Mac) serta hari sebenar sambutan (6 Mac).
    
Penutupan jalan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat mulai jam 5. -Bernama-  
more
 ---------------------------------------------------------------  
HUJAN LEBAT DI KUALA LUMPUR, BEBERAPA JALAN DINAIKI AIR

Sungai di hadapan bangunan Bernama sudah melimpah!
Keadaan jalan masuk dari Jalan Tun Razak mengahala ke Bernama yang dinaiki air.
Banjir kilat di Jalan Tun Razak (di hadapan National Library & IJN)
24 Feb - Hujan lebat di ibu negara petang ini menyebabkan beberapa jalan utama dinaiki air akibat air melimpah dari beberapa batang sungai antaranya Sungai Gombak dan Sungai Bonus.

Berikutan banjir kilat setinggi kira-kira 0.7 meter itu, banyak kenderaan ringan terperangkap di beberapa jalan-jalan utama di ibu negara.
  
Antara jalan yang terjejas ialah Jalan Tun Razak bermula di hadapan Pusat Rawatan  Pusrawi menghala ke Cheras.
  
Ekoran itu, kenderaan ringan tidak boleh melalui jalan tersebut namun kenderaan yang menghala ke arah Bulatan Pahang masih boleh dilalui di jalan tersebut.
  
Jalan-jalan lain yang dinaiki air ialah Jalan Ampang di hadapan Bangunan Risda dan Jalan Semarak.
  
Selain itu, 13 buah rumah dimasuki air iaitu 12 buah rumah di Taman Sri Rampai dan sebuah lagi di Taman P.Ramlee, Setapak.

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menerima laporan air naik di Jalan Tun Razak dan telah menghantar tiga anggotanya untuk meninjau keadaan di sekitar Kampung Baru sebelum menghantar sebarang bantuan.

Kesesakan berlaku di laluan seperti Jalan Ampang, Jalan Kuching dan Jalan Tun Razak kerana trafik bergerak perlahan. Keadaan tersebut dijangka berlanjutan sehingga 8 malam ini.
  
Terowong Smart sudah ditutup sejak 4.20 petang tadi ekoran air yang sudah melimpah dan di dijangka akan dibuka dalam masa satu jam lagi selepas proses pengaliran air selesai. -Bernama- 


---------------------------------------------------------------


KL MARATHON 2011 STANDARD CHARTERED DIJANGKA MENARIK PENYERATAAN LEBIH 25,000 ORANG 

KL Marathon 2011 Standard Chartered yang dijadualkan pada 26 Jun tahun ini dijangka menarik lebih 25,000 peserta berbanding 16,500 tahun lepas.

Acara yang mencapai edisi ketiganya tahun ini dianjurkan bersama oleh Standard Chartered Bank Malaysia Berhad, Golazo Sdn Bhd, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Belia dan Sukan. 

Ia menawarkan hadiah wang berjumlah US$100,000 dan terbuka kepada orang ramai dalam lima kategori iaitu Marathon Penuh (42.2km), Separuh Marathon(21.1km), 10km & Cabaran Korporat, 5km Larian Ria dan Kids Dash (3km-950m).
   
Menteri Belia & Sukan menyeru Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) supaya menghantar atlet negara ke acara tersebut bagi menguji sejauh mana kemampuan mereka.             

---------------------------------------------------------------

SASUKE EDISI MALAYSIA, JAGUH MALAYSIA PADA SAMBUTAN HARI BELIA NEGARA
     

Program realiti televisyen di Jepun, Sasuke akan menjadi antara tarikan utama pada sambutan Hari Belia Negara peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di Putrajaya selama tiga hari mulai 27 Mei depan.

Sasuke edisi Malaysia, dikenali sebagai Jaguh Malaysia adalah antara lebih 200 acara yang akan diadakan pada sambutan tersebut.

Kementerian Belia dan Sukan mensasarkan seramai sejuta belia akan hadir pada sambutan tersebut yang dibuat dalam skala besar melibatkan lebih 200 aktiviti berbanding 88 aktiviti tahun lalu.

Penganjuran acara sedemikian akan membolehkan Malaysia lebih dikenali di mata dunia berikutan ia akan mendapat liputan oleh stesen televisyen di Jepun.
   
Setakat ini, terdapat kira-kira 15,000 orang telah mendaftar untuk menyertai sambutan tersebut. -Bernama-                                                                                                                                

---------------------------------------------------------------


KEMPEN MYDAFTAR MULAI 19 FEB UNTUK MASYARAKAT INDIA

Kempen Mydaftar peringkat kebangsaan akan dijalankan serentak selama lapan hari mulai 19 hingga 26 Feb untuk proses mendokumentasikan masyarakat India tempatan yang tidak mempunyai dokumen diri yang sewajarnya.

Kempen ini membolehkan kerajaan mengenal pasti serta membantu masyarakat India yang menghadapi masalah dokumentasi berkaitan permohonan sijil kelahiran, permohonan kad pengenalan dan juga kewarnegaraan.
  
Walaupun kempen ini khas untuk masyarakat India, kaum lain yang turut menghadapi masalah ini boleh menggunakan kesempatan kempen ini untuk mendaftar.

Negeri yang terlibat dalam kempen ini adalah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Johor.
  
Sepanjang kempen ini, waktu perkhidmatan cawangan JPN yang terlibat dibuka mulai 9 pagi dan dibuka termasuk Sabtu dan Ahad, dan sehingga selepas waktu pejabat, bergantung keperluan. -Bernama-

---------------------------------------------------------------

KAUNTER PERKESO DI KL DAN PJ DIBUKA SETIAP SABTU MULAI 8 JAN


Tiga kaunter pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Kuala Lumpur dan Selangor akan dibuka pada setiap hari Sabtu bermula pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari mulai Sabtu ini.

Kaunter yang terlibat ialah ibu pejabat Perkeso di Jalan Ampang, pejabat Perkeso Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Jalan Tun Razak dan pejabat Perkeso di Jalan Selangor, Petaling Jaya.

Ketiga-tiga kaunter itu yang akan dibuka setiap Sabtu kecuali jika hari tersebut merupakan cuti umum.

Perkhidmatan yang disediakan pada hari berkenaan ialah pendaftaran majikan atau pekerja, penerimaan tuntutan, pembayaran caruman dan pertanyaan am.

Perkeso boleh dihubungi melalui talian 03-4257 5755 atau laman sesawang www.perkeso.gov.my untuk keterangan lanjut. -Bernama-

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...