Bernama.com | Rencana 22 Mei, 2012 14:59 PM
Oleh Norindah Khairi
KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- "Saya mahu rakyat Malaysia menerima seadanya masyarakat Orang Asli, tidak kira sama ada mereka mempunyai fahaman atau agama yang berbeza," kata penulis Orang Asli berbakat, Mahat anak China.
"Berkawanlah dengan mereka, kenalilah hati budi mereka dan inilah yang saya cuba lakukan melalui karya sastera saya," kata Mahat yang menulis dengan nama pena Akiya.
Mahat yang berasal dari Kampung Orang Asli Erong, Ladang Ulu Bernam, Hilir Perak, merupakan satu-satunya penulis Orang Asli daripada suku Semai yang terlibat secara serius dalam bidang penulisan kreatif.
Beberapa karya beliau yang diterbitkan, banyak menekankan kepada aspek perjuangan, sejarah dan warisan masyarakat Orang Asli yang dianggap unik dan luar biasa.
MENULIS MELALUI KACA MATA ORANG ASLI
"Biarlah yang dangkal itu datang daripada Orang Asli. Orang Asli ada caranya untuk menyampaikan hasrat mereka, maka lahirlah karya-karya ini," demikian kata Mahat.
Mahat mahu karya yang dihasilkan diterima dan dibaca bukan sahaja dalam kalangan Orang Asli, tetapi semua kaum di negara ini.
Selain ingin membetulkan persepsi negatif orang luar terhadap Orang Asli, Mahat berkata penghasilan karyanya juga bertujuan membakar semangat khalayak yang kebanyakannya remaja berketurunan Orang Asli agar berani mengubah tanggapan yang mengaitkan mereka sebagai masyarakat primitif serta tidak bertamadun.
Katanya penulisan daripada kaca mata Orang Asli sendiri mampu mengambarkan kehidupan sebenar komuniti itu tanpa disalah tafsirkan oleh pihak yang kurang memahami budaya Orang Asli yang sebenar.
"Tidak ramai Orang Asli yang mahu menjadi penulis. Oleh itu saya berkeinginan dan mengharapkan karya yang dihasilkan mendapat tempat dalam kalangan pembaca di negara ini," katanya.
Mahat berkata sastera lisan masyarakat Orang Asli telah pun disampaikan daripada satu generasi ke generasi, tetapi ia tidak banyak didokumentasikan.
"Apa yang penting, peristiwa dan sejarah tentang Orang Asli perlu didokumentasikan bagi membantu masyarakat supaya benar-benar memahami budaya, sejarah dan kehidupan Orang Asli," katanya.
Jelas beliau, tidak dinafikan dalam komuniti mereka juga masih ada yang tidak tahu mengenai sejarah keturunan masing-masing, apatah lagi masyarakat lain.
KARYA AKIYA
"Dulu-dulu menyebut sahaja perkataan Sangkil ('hamba' dalam bahasa Orang Asli) dalam kalangan Orang Asli, mereka sudah hilang rasa, hilang selera makan dan minum. Pada mereka, lebih baik mati daripada dimalukan sebagai Sangkil.
"Sangkil dilihat seolah-olah bukan manusia, walaupun mereka manusia serumpun di rantau ini." Demikian satu petikan yang diambil dari sebuah novel sejarah, hasil karya Akiya yang berjudul 'Perang Sangkil'.
Perang Sangkil berkisar sejarah penghambaan di Tanah Melayu sekitar tahun 1870-an yang mengisahkan penganiayaan bangsawan Melayu terhadap Orang Asli yang diburu untuk dijadikan hamba, gundik atau dibunuh tanpa belas kasihan.
"Sejarah penghambaan ini terakam dalam novel Perang Sangkil dan ia merupakan kisah tragis yang tercicir daripada arus perdana," kata Mahat.
Dua lagi karya kreatif beliau yang diterbitkan ialah kumpulan cerpen Orang Asli berjudul 'Tuntut', terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan antologi puisi berjudul 'Perjuangan Warisan Orang Asli: Suara Dari Dalam' terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Jelas Mahat, perjuangan dalam penulisan cerpen dan sajak ini kesemuanya adalah isu yang menghimpit kehidupan Orang Asli pada masa kini dan juga warisan masyarakat Orang Asli yang hampir lenyap ditenggelami zaman.
Mahat kini dalam perancangan menerbitkan sebuah buku berjudul 'Hamba' dan beberapa menuskrip lain termasuk 'Diari Kehidupan' dan 'Wira Kecil'.
PROGRAM BICARA KARYA
Menjadi sejarah dalam hasil penulisan keturunan Orang Asli, di mana karya kreatif Mahat yang belum pernah dikupas dan dibincangkan secara ilmiah oleh mana-mana pihak, buat julung kalinya diangkat dan diiktiraf oleh Dewan Bahasa dan Pustaka menerusi satu majlis bicara sastera.
Program yang dinamakan "Bicara Karya Mahat a/l China" itu diadakan pada Febuari lalu dengan
kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tapah, Perak.
Pengiktirafan yang diberikan ini sekali gus membuktikan anak Orang Asli juga mempunyai bakat terpendam dan wajar menerima penghormatan sama seperti kaum lain di negara ini.
Susulan itu, Mahat mengajak masyarakat Orang Asli membuang perasaan rendah diri dan malu untuk menonjolkan bakat dalam dunia penulisan yang dilihat mempunyai manfaat besar.
Menurut Mahat, program itu merupakan program perintis yang diadakan bertujuan untuk
meningkatkan minat terutama para pelajar terhadap kesusateraan kebangsaan di negara ini.
Pendedahan awal kepada mereka mampu mewujudkan semangat patriotisme dalam kalangan
masyarakat pribumi terutama suara hati anak Orang Asli yang mendambakan perhatian dan
bantuan, dalam usaha mengubah nasib mereka, katanya.
Mahat turut diundang Dewan Bahasa dan Pustaka menghadiri Seminar Sastera Pelbagai Kaum yang dijangka berlangsung pada September.
Karya Mahat pastinya menambah warisan sastera negara dan memberikan ruang bagi masyarakat Orang Asli menonjolkan aspirasi dan harapan masa depan mereka. -- BERNAMA
Thursday, May 9, 2013
Orang Asli Melalui Kaca Mata Akiya
Posted by indah at Thursday, May 09, 2013Menjadikan Membaca Sebahagian Budaya Malaysia
Posted by indah at Thursday, May 09, 2013
Bernama.com | Rencana 16 April, 2012 20:58 PM
Oleh Norindah Khairi
KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Sebelum ini, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mengukur amalan membaca dalam kalangan masyarakat berdasarkan statistik dan pengukuran secara subjektif.
Budaya membaca masyarakat Malaysia didapati mula meningkat daripada hanya membaca dua buah buku setahun pada 1996 kepada lapan hingga 12 buah buku setahun pada 2010.
Ini dijadikan bukti bahawa ramai rakyat Malaysia semakin gemar membaca.
Faktor lain yang boleh dilihat adalah dari segi penambahan ahli baharu yang berdaftar dengan PNM dari tahun ke tahun.
Peningkatan ini juga adalah satu lagi petunjuk yang boleh diambil kira untuk melihat keadaan semasa amalan membaca rakyat Malaysia.
Pendaftaran ahli baharu PNM menunjukkan peningkatan sebanyak 38.1 peratus pada tahun lepas iaitu seramai 78,272 ahli berbanding 56,676 ahli pada 2010.
SEMAKIN BANYAK MEMBACA
Sementara itu, sebanyak 1,034,507 naskhah bahan bacaan dipinjam daripada PNM pada 2011, berbanding 776,347 naskhah pada tahun sebelumnya.
Pengarah Prasarana Ilmu dan Maklumat PNM, Salbiah Mohd Yusof berkata peningkatan turut disokong dengan adanya permintaan terhadap bahan bacaan di pasaran.
Beliau berkata pada tahun 2010 bahan bacaan yang diserahkan di bawah Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 adalah sebanyak 15,767 judul setahun.
Tahun lepas jumlah itu meningkat kepada 17,923 judul setahun. "Apabila bahan bacaan masih diterbitkan, industri pembukuan juga akan terus berkembang dengan pesat untuk memenuhi permintaan masyarakat terhadap bahan bacaan bercetak," katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa peningkatan amalan membaca tidak hanya dikira berdasarkan fakta semata-mata, sebaliknya penilaian dari segi perkara subjektif juga perlu dikaji.
Contohnya, terdapat ramai dalam kalangan masyarakat pada masa kini cenderung untuk membaca pada bila-bila masa tanpa mengira waktu dan tempat. Ini termasuk ketika berada di kawasan awam.
"Hari ini kita dapat melihat fenomena masyarakat membaca sewaktu menunggu waktu untuk berlepas di lapangan terbang, begitu juga di stesen bas, LRT dan kereta api, di klinik sewaktu menunggu giliran atau membaca semasa menunggu pelanggan ketika berniaga," kata Salbiah.
Katanya semua ini sukar untuk ditafsirkan dalam bentuk angka, tetapi keadaan mampu menjelaskan bahawa budaya membaca masyarakat Malaysia semakin bertambah baik.
Menurut beliau budaya membaca sebenarnya telah lama berada dalam diri masyarakat tetapi ia perlu diperkasa lagi dalam usaha mencapai status masyarakat maju.
PERUBAHAN TREND PEMBACAAN
Tidak dinafikan trend pembacaan masyarakat telah berubah terutama generasi Y, yang lebih terdedah kepada kecangggihan teknologi, peralatan serta perisian teknologi maklumat yang memudahkan proses
pembacaan.
PNM juga tidak terlepas dengan kesan perubahan trend pembacaan ini yang turut mempengaruhi kehadiran pengunjung di perpustakaan.
Menurut Salbiah, statistik mendapati pengunjung PNM menurun dari 464,317 orang pada tahun 2010 kepada 416,672 orang pada tahun lepas.
Sebaliknya, pengguna yang menggunakan perkhidmatan online di PNM meningkat daripada 6.44 juta pada 2010 kepada 8.26 juta pada 2011, menunjukkan peningkatan sebanyak 28.3 peratus.
Bagaimanapun PNM melihat kecanggihan teknologi maklumat seperti iPad dan smartphone yang membolehkan bahan bacaan diakses secara online, satu petanda baik kepada pembudayaan membaca.
Salbiah berkata dengan kehebatan maklumat di hujung jari ini, maka tiada alasan bagi masyarakat Malaysia untuk mengatakan mereka tidak mempunyai masa untuk membaca.
MEMPERKASA GALAKAN MEMBACA
Sebagai usaha untuk terus memperkasa program galakan membaca, PNM menggariskan beberapa pendekatan yang diharap dapat membantu membudayakan amalan membaca di Malaysia.
Menurut Salbiah, sebanyak 36 program menerusi pendekatan 1Malaysia dirancang tahun ini di bawah 'Program Galakan Membaca 2012', dengan hasrat menyokong konsep 1Malaysia dan Strategi Lautan Biru.
PNM juga, katanya, akan menggerakkan pelaksanaan ini ke kawasan luar bandar melalui Karnival Galakan Membaca 1Malaysia yang melibatkan lima perpustakaan desa di seluruh negara serta 'Program Mari Membaca 1Malaysia: Kembara Ilmu Pewaris Negara' dan program 'Mari Membaca 1Malaysia Bersama Persatuan Pencinta Buku'.
Antara program yang dirancang ialah 'Kembara Jalur Lebar' yang akan diadakan dengan kerjasama MSD Digital Sdn. Bhd di enam lokasi.
Dalam usaha meningkatkan kesedaran masyakarat India terhadap kepentingan membaca, 'Program Mari Membaca 1Malaysia:Ore Malaysia Vaasikka Vaarunggal' akan diadakan dengan kerjasama Persatuan Penulis Tamil Malaysia. Program itu antara lain memberi pengiktirafan kepada penulis dan karya Tamil.
Salbiah berkata PNM akan terus memperhebat promosi galakan membaca dengan kerjasama media massa, termasuk mempromosi program pendidikan literasi maklumat, membantu usahaa galakan dan sokongan penerbitan bahan bacaan, serta meneruskan program galakan membaca bersama ikon dan generasi muda.
Selain itu, katanya, tumpuan juga akan diberikan kepada golongan istimewa dengan penganjuran program galakan membaca di tempattempat awam.
USAHA BERTERUSAN
Salbiah bagaimanapun berkata masyarakat harus diberi maklumat yang tepat bahawa PNM bukanlah satu-satunya institusi yang bertanggungjawab untuk menanam minat membaca dalam masyarakat Malaysia.
Peranan PNM lebih kepada menyediakan prasarana yang lengkap, di samping menganjurkan kempen membaca untuk memberi kesedaran bersama.
Katanya kunci kemajuan sesebuah negara, antara lainnya adalah dengan memiliki rakyat yang suka membaca. Oleh itu, semua pihak diharap dapat memainkan peranan masingmasing untuk memupuk budaya membaca.
Salbiah menegaskan bahawa kesedaran terhadap pembacaan telah ada dalam masyarakat Malaysia, tetapi usaha perlu diteruskan untuk menjadikannya sebagai budaya. -- BERNAMA
Mencari Pemimpin Senyap Belia
Posted by indah at Thursday, May 09, 2013
Bernama.com | Rencana 20 April, 2012 17:15 PM
Oleh Norindah Khairi
KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Keupayaan seseorang adakalanya tidak mampu dizahirkan jika tidak pernah diberi peluang. Kebolehan juga tidak mampu ditonjolkan jika peluang yang ada tidak digunakan sebaiknya.
Demikian pendapat Majlis Belia Malaysia dalam mengesan pemimpin senyap dalam kalangan belia. Untuk memastikan ruang dan peluang ini tidak disia-siakan, MBM mencorak strategi dalam usaha menjejaki aset negara ini untuk digilap menjadi jaguh Malaysia.
Ketua Penerangan MBM, Hasnul Fairuz Hushin Amri berkata MBM percaya ramai pemimpin senyap dalam kalangan belia yang boleh digilap bakat mereka untuk menjadi jaguh menentukan kekuatan dan ketahanan pembangunan sosial, ekonomi dan politik negara.
MBM menggalas tanggungjawab ini dengan menggunakan pendekatan program berbentuk kepimpinan dan kesukarelaan untuk mengumpul belia yang berpotensi menjadi pemimpin.
MELATIH PEMIMPIN MUDA YANG BERWAWASAN
Hasnul Fairuz berkata pemimpin muda dibentuk melalui program seperti Siri Latihan Pemimpin Muda,yang mula diadakan pada tahun 2011. Sebanyak 10 siri program telah diadakan di seluruh Malaysia.
"Siri latihan ini bukan sahaja dilaksanakan dalam kalangan belia yang berada di dalam negara tetapi melibatkan mereka yang kini berada di luar negara," katanya.
Di dalam program ini MBM membawa pendekatan yang agresif, memberi ruang kepada belia yang terlibat untuk melontarkan pandangan mereka sehingga mereka mampu membentuk keyakinan diri. Hasnul Fairuz berkata program kepimpinan ini mahu melahirkan barisan pemimpin muda yang faham cita-cita dan wawasan negara serta gagasan 1Malaysia.
Katanya MBM juga menyediakan latihan yang bertujuan melahirkan barisan pelapis pemimpin sebagai satu langkah pengupayaan persatuan belia.
Program tahun ini akan terus diperhebat, melibatkan 20 siri, dengan sasaran 2,000 peserta yang turut melibatkan kerjasama Majlis Belia Negeri.
"Bagi tahun 2012, Siri Latihan Pemimpin Muda dijangka akan diadakan pada September hingga November dan ia akan melibatkan peserta yang berumur antara 18 hingga 30 tahun," katanya.
PERINGKAT ANTARABANGSA
Dalam pada itu, MBM turut menggerakkan Kursus Pemimpin Muda Peringkat Antarabangsa di mana penglibatannya adalah pelajar-pelajar Malaysia di luar negara.
Hasnul Fairuz berkata pada Jun ini, program lawatan balas MBM ke Turki akan diadakan untuk bertemu dengan belia Turki serta pelajar Malaysia di sana.
MBM juga, katanya, akan bergerak ke Mesir dan Jordan, iaitu negara yang menempatkan jumlah pelajar Malaysia paling ramai.
"Secara tidak langsung program diskusi santai digunakan untuk mendekati pelajar-pelajar Malaysia di sana," katanya.
Bukan sekadar itu sahaja, MBM dengan kerjasama agensi kerajaan dan swasta akan turut menaja beberapa peserta terpilih untuk mengikuti kursus dan latihan lanjutan di institusi pengajian tinggi.
MEMBENTUK PEMIMPIN BERJIWA RAKYAT
Hasnul Fairuz berkata dalam usaha membentuk pemimpin berjiwa rakyat, sifat kesukarelaan belia, dicungkil dan dipupuk untuk menjadikan mereka ringan tenaga membantu kesejahteraan jiran tetangga dan komuniti.
"Nilai kesukarelaan ini dipupuk sehinggakan individu yang dilatih mempunyai motivasi dan kepercayaan dalaman untuk menyempurnakan kepuasan diri dengan menghulurkan bantuan kepada orang lain," katanya.
Usaha ini dilakukan melalui Sahabat MBM, program khidmat masyarakat yang berperanan memberi galakan kepada belia menghulurkan khidmat bakti kepada anggota masyarakat di dalam dan luar negara.
Beliau memberi contoh program kesukarelaan Belia Antarabangsa - Misi Bantuan Bencana Pasca Banjir Thailand 2011.
Program anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan itu turut mendapat sokongan penuh kerajaan Thailand melalui Office of Welfare Promotion, Protection and Empowerment of Vulnerable Groups, Thailand (OPP).
"Tahun ini, Sahabat MBM mengadakan Misi Bantuan Kemanusiaan Pasca Banjir di Kemaman, Terengganu pada 13 Jan dan di Hulu Langat, Selangor baru-baru ini," katanya.
MBM juga melancarkan Sahabat MBM di setiap IPT di negara ini yang merupakan platform untuk mahasiswa berinteraksi dan mengasah bakat melalui kerja kesukarelaan, kepemimpinan dan kemasyarakatan.
Melalui Sahabat MBM, mahasiswa dapat disatukan melalui suasana positif tanpa dipisahkan oleh ideologi kepercayaan serta latar belakang sosial yang berbeza.
Menyentuh perincian setiap tugas yang dijalankan, Sahabat MBM juga, katanya, memainkan peranan penting dalam mengendalikan dan mengatasi masalah sosial serta mengadakan pelbagai perkhidmatan kebajikan kepada golongan yang memerlukan.
MBM TERUSKAN PERANAN MEMBENTUK PEMIMPIN MUDA
Presiden MBM, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata proses melahirkan pemimpin bukan dapat dicapai sekelip mata.
Hanya yang tabah dan kuat akan berjaya mengharungi proses itu dan menjadi pemimpin unggul, katanya.
Kini terdapat hampir 8,000 pertubuhan belia yang boleh dijadikan platform belia mengasah bakat dan meluaskan pengalaman.
Katanya negara ini sentiasa memerlukan pelapis belia yang mampu memacu pembangunan dan wawasan negara.
Demi kelangsungan dan survival bangsa Malaysia, proses melahirkan pemimpin unggul perlu berterusan dan dipelbagaikan. -- BERNAMA